Berasal
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt.
Logik bahawa orang-orang Melayu berasal dari pulau Sumatera
atau kepulauan lainnya sebagai contoh, sekali gus merupakan logik yang
tertolak, dan dangkal. Mereka sebenarnya bergerak atau 'mengalir', tentunya
dari satu penempatan ke satu penempatan, dari satu daerah ke satu daerah yang
lain, atau dari satu wilayah ke satu wilayah yang dipilihnya. (Realiti ini
tidak ubahnya sebagaimana keadaan penduduk dari Kelantan, pada masa kini
mengalir ke Terengganu, Pahang bahkan hingga ke Rompin atau ke Kedah dan Perlis
di sebelah utara yang membentuk pengaliran atas kapasiti rakyat negara ini.
Mereka bukan pendatang.)
Namun, pergerakan atau pengaliran ini masih di dalam satu
lingkungan yang sama, yakni Alam Melayu tersebut. Ia berlaku atas pelbagai
faktor, antaranya perkahwinan. Disebutkan bahawa setelah Islam datang ke
Melaka, dan Melaka menjadi pusat pengembangan Islam yang sangat disegani,
berlakulah perkahwinan antara penghuni wilayah-wilayah ini. Pergerakan dan
pengaliran yang terjadi ini sudah pasti tidak boleh sama sekali dilihat sebagai
pergerakan 'pendatang'.
Pendatang tidak menubuhkan kerajaan. Sejarah kemasukan
beberapa etnik ke negara ini sejak zaman-berzaman, yang pada pendapat Hashim
Hj. Musa dikatakannya berlaku dalam dua gelombang besar, iaitu pada era pra
penjajah dan pada zaman penjajah masih disifatkan sebagai pendatang. Ini
disebabkan mereka tidak membentuk atau menubuhkan kerajaan. Mereka mungkin
sudah mengasosiasikan diri ke dalam kelompok masyarakat setempat. Sifat
asosiasi itu memungkinkan status mereka berubah sehinggakan mereka kemudiannya
diterima sebagai Melayu. Definisi Melayu dalam Perlembagaan pula jelas
diketahui umum.
Perkara 160, mentafsirkan "Melayu ertinya seseorang
yang menganut agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu, menurut adat istiadat
Melayu" (Perlembagaan Malaysia, 1986).
Menyifatkan Melayu sebagai pendatang merupakan satu
pemesongan fakta yang terang-terangan tidak berasas. Menyamakan keberadaan
mereka di dalam lingkungan wilayah mereka sendiri dengan pergerakan etnik yang
lain adalah satu pendustaan kebenaran sejarah ketamadunan dan peradaban yang
tidak seharusnya diperkotak-katikkan. Ia kelak akan memberi senario yang salah,
dari sudut apa-apa pun, tentang penduduk asal Alam Melayu ini. Orang-orang
Melayu itu difahami sebagai latar belakang kebudayaannya amatlah besar,
wilayahnya yang bertaburan luas, mereka mungkin daripada suku keturunan yang
berlainan, ada Minang, ada Aceh, ada Jawa dan ada Bugis, atau lain-lainnya.
Tetapi, merekalah Melayu, Melayu yang sangat luas pengertiannya, dalam konsep
entiti budaya itu.
Bersandarkan hakikat bahawa Alam Melayu didiami sejak
zaman-berzaman, kepelbagaian suku yang mewarna-warnikan kebudayaannya,
kedudukan Melayu sebagai bangsa yang bertamadun serta tinggi peradabannya,
melihatkan pembentukan kerajaan-kerajaannya, bukti kewujudan Kesultanan Melayu
Melaka yang besar di abad ke-15, sejarah pengaliran umatnya yang bertali arus
menjejari wilayahnya, dan pengertian Melayu menurut peruntukan Perlembagaan
sangat jelas membuktikan bahawa Melayu bukanlah pendatang. Ia tidak menepati
sama sekali ciri-ciri atau sifat watak kependatangan itu.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz2KhbnkS1I
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment