February 13, 2013

Melayu di Malaysia Bukan Pendatang - part 1


Melayu pendatang satu pemesongan fakta.


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt.


KEBELAKANGAN ini banyak benar pihak yang menyoal siapakah Melayu? Apakah Melayu? Dari mana asalnya mereka? Penduduk asalkah mereka di negara ini? Ataupun, sekadar pendatang? Hakikat persoalan ini timbul sejak sekian lama dahulu tidak disangkal lagi. Pelbagai kajian, dari segala sudut pandangan dan perspektif, bahkan metodologi digunakan, untuk merungkai satu pertanyaan yang penulis kira sebenarnya begitu mudah dan jelas.

Sungguhpun demikian, peralihan masa, perubahan landskap politik dan atas kepentingan-kepentingan yang tertentu, sesuatu yang kelihatannya tidak seharusnya timbul, ditimbulkan semula. Penulis tertarik untuk tampil menghuraikan beberapa perkara yang berkaitan dengan Melayu.

Sejarah bangsa Melayu sudah cukup lama. Dua konan Melayu teragung, Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah memerihalkan dengan cukup jelas banyak perkara yang bersangkutan dengan Melayu. Ia ada dibuat secara langsung, dengan menerangkan dan memberikan gambaran-gambaran secara terperinci, manakala sesetengahnya perlu dirumuskan dahulu untuk kita memperoleh maklumat yang lengkap, yang lebih menyeluruh.

Terbentuknya Kerajaan Melayu Melaka merupakan satu hal yang sukar ditolak. Seandainya, digunakan premis mudah menyatakan karya sastera seumpama Sejarah Melayu, yang bukannya sebuah penulisan sejarah secara mutlaknya, merupakan cereka yang mudah dinafikan kebenarannya, catatan sejarah Kesultanan Melayu Melaka tercatat lebih daripada itu.

Banyak buku yang non kreatif, yang bersifat kajian atau penyelidikan - sekiranya konan Sejarah Melayu dikatakan sebuah karya separa kreatif atau kreatif - membuktikan bahawa Kesultanan Melayu Melaka wujud dan amat gilang-gemilang. Pemerintahannya teratur, hubungan dagang dan diplomatiknya dengan dunia luar luas, termasuk hubungannya dengan Kerajaan China yang dikenali besar dan tertua.

Dalam hal ini, Hashim Hj. Musa (Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia: Menghadapi Globalisasi Barat, Penerbit Universiti Malaya, 2004) memetik Liang Liji (1996), menyentuh hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke-15, yang menurutnya, "Hubungan antara China dengan alam Melayu sudah lama wujud, iaitu sebelum permulaan tahun Masihi sejak zaman Dinasti Han (140-117S.M). Semasa pemerintahan Sun Quan (222-252 M), dua orang utusannya telah melawat Funan dan negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu, dan mengadakan hubungan diplomatik dengan mereka."

Catatan ini jelas akan kewujudan Kerajaan Melayu Melaka. Bukti ini penting untuk dikaitkan kemudiannya dengan Melayu, yang apakah hubungannya dengan bangsa pendatang.


Orang-orang Melayu dengan itu terbukti jelas sudah pun mendiami Melaka, dan semua wilayahnya. Melaka diketahui umum berada di Alam Melayu atau disebut juga Malay Archipelago. Alam Melayu meliputi kawasan luas seluruh Nusantara.

Hashim Hj. Musa memetik tulisan Sinom Elegant, A Pyrrhic Victory: The Asian Millenium, Far Eastern Economic Review, Jun 10, 1999 yang menyatakan, "Five centuries ago Malacca hosted 2,000 ships each day, as many as crowd in modern-day Singapore, which boast of being one of the three busiest ports (in the world)…it was a place where Gujratis, Tamils and Bengalis from India lived and traded in cure harmony with Malays, Chinese and Arabs; a city of 100,000 where 84 languages could be heard in the markets. The Malay sultans who ruled Malacca ensured that the Straits (of Malacca) was free from pirates. Goods could be stored safely in hundred of well-guarded godowns, and in case of disputes, the city's law were administrated fairly to both Malaccans dan foreigners (hlm. 136)

Orang-orang Melayu bukan sahaja gemilang di Melaka, malahan bertebaran di seluruh kawasan Nusantara. Dengan yang demikian, tanpa diragukan lagi merekalah yang telah menjadi penduduk asalnya.

Bangsa Melayu telah membina tamadun dan peradaban yang tinggi. Sehubungan dengan ini, penulis suka memetik pandangan A. Aziz Deraman (Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia) yang berbunyi, "Sejarah ketamadunan Melayu yang panjang meninggalkan pusaka kebudayaan yang amat tinggi mutu dan nilainya. Sebagai tamadun yang tinggi, dunia menyaksikan suatu kronologi peradaban yang bermula dari prasejarah menempuhi zaman Seriwijaya, Majapahit, Campa, dan memancarkan cahaya kegemilangannya pada zaman kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15. Melaka sebagai empayar besar, berpengaruh di seluruh Tanah Melayu dan di Sumatera, bertindak sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang menghubungkan Barat dengan Timur, pusat penyebaran ilmu, serta disegani oleh semua."

Jelas, catatan tentang Melaka sudah cukup mantap untuk dijadikan bukti kukuh akan kewujudan tamadun dan peradaban Melayu itu. Dengan keterangan di atas, wilayah Melayu itu diketahui luas, sebagaimana yang disebut lebih awal, ia meliputi wilayah yang dinamakan Nusantara.

A. Aziz Deraman selanjutnya menghuraikan, "…bahawa bangsa rumpun Melayu dilandasi oleh ketentuan identiti wilayah ini sebagai Alam Melayu. Wilayah itu jugalah menyerlahkan entiti geografi dan kebudayaan yang satu dengan pengalaman sejarah yang hampir serupa. Apa-apa sahaja nama yang diberikan kepadanya Yavadwipa, Golden Chersonese, Malay Archipelago, Tanah Jawi atau segala nama kuno merupakan petanda wujudnya kesatuan, keutuhan wilayah budaya, dan kewujudan sesuatu entiti dengan struktur dalamannya jelas bersifat Melayu."

Melayu di sini juga harus difahami bukan dalam konteks ras atau kaum. Melayu itu juga bukan lagi satu etnik. Melayu sudah mencakupi satu entiti budaya. Konsep Melayu ialah konsep budaya dan entiti budaya itu. Ia tidak bergantung pada kapasiti ras, etnik atau kaum lagi.

A. Aziz Deraman mengakui, bahawa dari segi fizikal atau rupa bentuk Melayu itu sudah berubah, "Bangsa serumpun Melayu tidak lagi dapat diasaskan pada biologi kerana mungkin sebagai individu kita tidak lagi memiliki seratus peratus darah warisan asli. Kewujudan bangsa terlihat dalam dunia kesarjanaan sebagai satu unit sosiobudaya dengan segala sempadan sejarah dan ketamadunannya…". Hal ini biasa, sementelahan ia berlaku dalam wilayah yang luas, dan kemunculan pelbagai suku dari daerah yang bertaburan itu.




Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz2KhVxfgGS
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment